Sebelum pergi melancong, antara faktor yang akan dipertimbangkan pengembara ialah tentang keindahan alam, budaya, tarikan sejarah dan kepada yang beragama Islam pasti akan meletakkan fasiliti mesra Muslim sebagai pertimbangan utama.
Antara yang sering menjadi rungutan pastinya berkaitan makanan halal selain kemudahan untuk menunaikan solat.
Lebih memeningkan lagi apabila negara yang hendak dikunjungi, populasi penganut yang beragama Islam adalah minoriti, seperti negara Taiwan.
Nah, disebabkan itulah Kempen Salam Taiwan dilancarkan untuk membuka mata mengenai kemudahan mesra Muslim yang selesa tanpa rasa bimbang jika berkunjung ke negara terkenal dengan julukan Jantung Asia itu.
Lebih menarik, EVA Air iaitu syarikat penerbangan dari Taiwan turut menyokong usaha ini termasuk menawarkan sajian makanan halal dalam pesawat ketika anda membuat tempahan tiket.
Ini antara tip yang mungkin berguna jika anda melancong ke Taiwan.
Aplikasi Halal TW
Sebelum terbang ke Taiwan, muat turun dahulu aplikasi Halal TW. Aplikasi ini boleh membantu anda mendapatkan info restoran halal, masjid serta lokasi menarik untuk dilawati.
Aplikasi Halal TW boleh dimuat turun dari AppStore bagi pengguna iOS dan Play Store bagi android.
Makanan
Pada masa ini, hampir 300 restoran dan hotel di Taiwan telah memperoleh pensijilan halal yang sah. Kunjungilah restoran yang:
1. Mempunyai Sijil Halal – diluluskan oleh Persatuan Cina Muslim Taiwan.
2. Restoran yang menjual makanan Arab.
3. Restoran mesra muslim yang menyajikan makanan laut dan vegetarian.
Namun jika masih tidak pasti atau was-was, bertanyalah untuk kepastian! Jangan bimbang, masyarakat di sana, semuanya baik-baik dan mesra.
Kad Sim
Tiba sahaja di Lapangan Terbang Antarabangsa Taoyuan, terdapat beberapa kios yang menjual kad sim. Harga kad sim sekitar NT$300 (RM40) untuk lima hari dengan data tanpa had.
Pastikan anda membuat pilihan yang bijak dengan membaca promosi yang ditawarkan. Bagi pelancong yang menaiki penerbangan EVA Air, anda berpeluang mendapat potongan sebanyak NT$100 (RM14.00).
Pengangkutan Mesra Muslim
Untuk pengetahuan bakal pengunjung Taiwan, Lapangan Terbang Taoyuan dan stesen kereta api di seluruh Taiwan juga sangat mesra untuk pelancong Muslim!
Di Lapangan Terbang Taoyuan, terdapat dua buah bilik solat Muslim di kawasan transit. Sebuah terletak di Terminal 1 berhampiran Pintu B3 dan sebuah lagi di Terminal 2 berhampiran Pintu C1. Bilik solat ini dibuka 24 jam.
Penginapan Mesra Muslim Yang Selesa
Selain makanan halal, sama ada di Taiwan atau Taipei anda tidak perlu risau tentang penginapan yang menyediakan fasiliti halal.
Agak mudah mencari penginapan mesra Muslim yang tersedia dengan petunjuk kiblat. Makanan juga dijamin halal dan semestinya, lazat.
Antara hotel yang lengkap fasiliti ini ialah Amba Hotel. Hotel ini memiliki beberapa cawangan di Taipei iaitu Songshan, Ximending dan Zhongshan.
Cuaca
Taiwan adalah negara empat musim, namun musim sejuk di sini tidak bersalji kecuali di pergunungan tinggi.
Antara waktu yang sesuai untuk dilawati adalah sekitar Mac hingga Mei iaitu musim bunga. Suhu waktu ini adalah sekitar 25 darjah Celsius.
Jika anda berminat menyertai pelbagai festival seperti festival belon, bunga api atau kulinari, waktu yang sesuai adalah sekitar Jun hingga Ogos, namun suhu ketika ini mencecah 30 darjah Celcius.
Kemudahan
Jika anda ke destinasi tumpuan utama pelancong di sekitar bandar Taipei contohnya menara Taipei 101, tiada masalah untuk anda mencari ruangan solat di sana. Pusat beli-belah utama lain juga kebanyakannya menyediakan ruangan untuk solat. Dapatkan maklumat di kaunter bahagian informasi di situ.
Seiring dalam mempromosi Taiwan sebagai lokasi mesra Muslim, kemudahan surau turut disediakan di sesetengah stesen metro di tengah kota Taipei.
Selain daripada tips ni, jangan lupa untuk semak juga waktu terbaik untuk melawat Taiwan. Rancanglah percutian anda agar banyak kenangan manis dapat dicipta! – JURNAL