Pasukan aerobatik Black Eagles dari Korea Selatan bukan sahaja disebut-sebut dan menjadi bualan pada Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA ’23), namun turut mencuri tumpuan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Walaupun dalam cuaca panas terik, Seri Paduka berkenan meluangkan masa melihat sendiri pesawat tempur ringan KAI T-50B itu dengan lebih dekat di landasan terbang, kawasan berhadapan Pusat Pameran Antarabangsa Mahsuri (MIEC) yang menempatkan pameran pesawat pelbagai negara.
“Saya juga juruterbang,” titah Agong dalam nada berseloroh ketika ingin naik ke pesawat berkenaan.
Seri Paduka meluangkan masa kira-kira 10 minit di dalam pesawat tempur ringan KAI T-50B Golden Eagle berkenaan, sambil mendengar penerangan daripada salah seorang juruterbang.
Seri Paduka, yang diiringi Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Korea Aerospace Industries (KAI) Kang Goo Young, turut sekali-sekala menggunakan beberapa perkataan Korea seperti ‘kamsahamnida’ yang bermaksud ‘terima kasih’ sepanjang lawatan itu.
Turut mengiringi Seri Paduka sepanjang lawatan berkenaan ialah Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pengangkutan Anthony Loke dan Panglima Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Affendi Buang.
Sebelum ini, aksi memukau Black Eagles yang menampilkan formasi utama ‘Taeguk’, iaitu bendera Korea Selatan menerusi penggunaan asap daripada pesawat terbabit, menjadi antara yang ditunggu-tunggu orang ramai dan mereka yang berada di Langkawi sempena LIMA ’23.
Penampilan sulung pasukan aerobatik “Black Eagles” Republic Of Korean Air Force (ROKAF) adalah pada 2017 menerusi penyertaan lapan pesawat latihan T-50B Golden Eagle yang dibangunkan KAI.
Terdahulu, Seri Paduka turut berkenan melawat beberapa reruai seperti MyAirline dan Kementerian Pengangkutan di MIEC, dan meninjau keadaan serta melihat reka bentuk di dalam pesawat E195-E2 Embraer Commercial Jet.
Jet E195-E2 adalah pesawat satu lorong, menggunakan bahan api dan pelepasan bunyi paling rendah, berkapasiti 136 tempat duduk penumpang dengan jarak penerbangan kira-kira tujuh jam.
Yang di-Pertuan Agong turut berangkat menghadiri majlis menandatangani perjanjian antara SKS Airways, Embraer and Azorra di MIEC, yang turut disaksikan Loke. – JURNAL
Sumber: BERNAMA