Mahu merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan seksual menjadi motif pembunuhan seorang wanita di Jalan Sungai Limau, di sini, semalam.
Dalam kejadian 8.10 pagi itu, mangsa, 21, yang bekerja sebagai pelayan restoran ditemui terbakar oleh orang awam di belukar kebun kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias, berkata, polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian itu di Sungai Besar.
“Siasatan awal dilakukan mendapati suspek berusia 20 tahun baru menamatkan pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi.
“Suspek dan mangsa adalah pasangan kekasih dan menjalin hubungan selama setahun. Malah, mangsa dipercayai hamil empat bulan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam, hari ini.
Agus Salim berkata, hasil soal siasat mendapati suspek pada kali pertama mengaku keluar bersama mangsa dengan menaiki kereta milik keluarganya malam kelmarin.
“Lelaki itu memukul kekasihnya sehingga pengsan dan menikam perut wanita itu menggunakan pisau disyaki untuk mengeluarkan kandungan.
“Suspek kemudian bertindak membakar mangsa dengan menggunakan petrol. Untuk kali kedua (semalam), suspek sekali lagi hadir ke lokasi kejadian dengan menunggang motosikal.
“Dia membakar mayat mangsa bertujuan untuk melupuskan bahan bukti,” katanya.
Agus Salim berkata, ujian saringan air kencing ke atas suspek didapati negatif dan semakan mendapati dia tidak mempunyai rekod lampau.
Menurutnya, suspek dipercayai melakukan jenayah itu berseorangan.
“Polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi melengkapkan kertas siasatan untuk dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya.
“Permohonan reman terhadap suspek dibuat hari ini di Mahkamah Majistret Kuala Selangor dan dia direman selama enam hari sehingga 29 Mei ini,” katanya.
Beliau berkata, mayat mangsa kini berada di Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – JURNAL
Sumber: HARIAN METRO