Bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menegur peminat kumpulan rock dari British, Coldplay dan juga kumpulan K-Pop, Blackpink.
Teguran dibuat menerusi laman sosial Facebooknya pada Rabu.
Menerusi hantaran tersebut, Nik Abdul mengibaratkan mereka yang menganggap hiburan melalaikan sebagai pemberi ketenangan jiwa seperti orang dewasa memiliki akal kanak-kanak.
“Si bapa membelanjakan ratusan, bahkan ribuan ringgit membeli ubat untuk anaknya yang sakit.
“Si anak enggan dan terus merengek mahukan gula-gula. Begitulah sebahagian manusia. Allah turunkan dan hadiahkan al Quran, kalam-Nya sebagai penawar dan hiburan kehidupan.
“Mereka pula terus merengek mahukan ‘ketenangan jiwa’ daripada Coldplay dan Blackpink. Tubuhnya dewasa. Akalnya kanak-kanak,” tempelak Nik Abduh.
Terdahulu, penganjur Live Nation Malaysia tidak menolak kemungkinan konsert Coldplay: Music Of The Spheres di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) Kuala Lumpur pada 22 November nanti akan ditambah sehari ekoran permintaan masih tinggi.
Lebih 700,000 berusaha membeli tiket pada 17 Mei lalu yang kemudiannya terjual habis dalam tempoh tiga jam sahaja.
Kehangatan penganjuran konsert selebriti antarabangsa itu mengundang segelintir pihak mengambil kesempatan menjual semula tiket sehingga RM43,000 berbanding harga asal RM228 hingga RM3,088. – JURNAL