Jenama Nike adalah produk sukan yang cukup dikenali di serata dunia dan secara rasmi dilancarkan pada 1964.
Kebiasannnya logo Nike sering kelihatan di pusat beli-belah mahupun lapangan sukan, namun berbeza dengan seorang pengunjung di Galeri Nasional London yang menemukannya dekat sebuah lukisan kuno berusia 400 tahun.
Fiona Foskett yang berusia 57 tahun bersama anak perempuannya Holly, mengesan logo Nike dekat kasut dalam lukisan dikenali sebagai ‘Potret Federick Sluysken’ yang dihasilkan oleh Ferdinand Bol pada abad ke-17.
“Saya bertanya kepada anak perempuan saya, adakah dia memakai sepasang kasut Nike?” katanya.
Foskett menganggap lelaki dalam lukisan tersebut telah mendapat kasut Nike yang paling awal yang pernah dihasilkan.
Malah, dia juga menganggap lelaki dalam lukisan berkenaan merupakan seorang pengembara masa.
“Melihat pada usia lukisan ini, dia pasti telah mendapatkan sepasang kasut Nike paling awal pernah dihasilkan. Atau adakah dia seorang pengembara masa?” kata Foskett.
Namun, dakwaan Foskett disangkal memandangkan potret itu telah berusia 400 tahun, sedangkan jenama Nike hanya diasaskan pada tahun 1964.
Kini, potret itu tidak lagi dipamerkan di Galeri Nasional, London. Walaubagaimanapun, menurut jurucakap galeri berkenaan, pihaknya gembira apabila lukisan berkenaan mendapat perhatian.
Semakan di Twitter mendapati, gambar lukisan tersebut pernah dikongsikan di Twitter sekitar Ogos tahun lalu.
“Ia mencuri tumpuan apabila kami mengalihkan satu ciapan Twitter yang meminta orang ramai melihat ciri-ciri moden dekat kasut budak lelaki berusia lapan tahun dalam potret berkenaan,” katanya.
Untuk info, potret Frederick Sluysken dihasilkan oleh artis seni Belanda, Ferdinand Bol pada abad ke-17 dan merupakan karya terbaik lukisannya. – JURNAL