Bantuan kewangan e-dompet sebanyak RM200 kepada mahasiswa akan mula diberikan pada bulan depan yang akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan.
Kementerian Kewangan menjelaskan, pemberian bantuan e-dompet sebanyak RM200 kepada pelajar universiti di negara ini akan bermula pada bulan depan iaitu Jun 2023.
“Bantuan e-dompet itu telah diperluas kepada semua mahasiswa yang berkelayakan dan tidak terhad kepada mahasiswa berusia 18 hingga 20 tahun sebagaimana pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa program Sesi Dialog Bersama Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada 7 April lalu,” katanya.
Katanya, pihak MOF dengan kerjasama kementerian yang terlibat kini dalam proses memuktamadkan dengan penyediaan perkhidmatan e-dompet berhubung pembangunan sistem data program ini termasuk keperluan pengajian sebelum pelancarannya pada hujung bulan Jun kelak.
Baru baru ini, media melaporkan, mahasiswa universiti merayu kerajaan segera menyalurkan bantuan RM200 e-dompet kepada mereka seperti diumumkan Perdana Menteri pada 7 April lalu.
Menurut mereka, bantuan tersebut dapat membantu meringankan beban dan berhadapan kos sara hidup yang turut meningkat di kampus.
Sementara itu, pihak Kementerian Pengajian Tinggi ketika dihubungi berkata, segala keputusan berkaitan pemberian e-dompet RM200 kepada mahasiswa itu, akan diuruskan oleh Kementerian Kewangan. – JURNAL
Sumber: UTUSAN