Laporan EMIR Research yang menganggarkan Malaysia kerugian sebanyak RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah disanggah oleh Khairy Jamaluddin (KJ) dan Shahril Sufian Hamdan.
Artikel ditulis Dr Rais Husin itu menjelaskan, segala kerugian dialami negara, kebanyakannya didakwa berpunca daripada kegiatan rasuah pihak atasan, sekali gus menyumbang kepada kejatuhan ekonomi tempatan.
Menganggap jumlah RM4.5 trilion sebagai satu angka yang tidak masuk akal, bekas Menteri Kesihatan dan bekas Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri Malaysia, Shahril mengkritik ulasan artikel tersebut melalui sesi temu bual ‘podcast’ di laman TikTok.
Jelas Shahril, bajet negara pada masa kini dianggarkan sekitar RM300 bilion dan kiraan kerugian yang diperkatakan adalah satu jumlah yang tersasar jauh daripada sepatutnya.
Dalam pada itu, Khairy turut mempertikaikan sekiranya jumlah bajet RM300 bilion yang dicatatkan setiap tahun oleh kerajaan, maka setengah daripada peratusan itu telah dicuri dan ia merupakan satu perkara pelik kerana sebanyak 80 peratus daripada perbelanjaan kerajaan adalah merupakan gaji penjawat awam.
“Macam mana gaji boleh songlap? Itu tidak masuk akal,” soal beliau.
Sebelum ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turut pernah menggerakkan siasatan dijalankan berhubung laporan Malaysia mengalami kerugian mencecah RM4.5 trilion dalam tempoh 26 tahun akibat rasuah dan ketirisan.
Beliau mengeluarkan arahan umum kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara Malaysia (BNM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menyiasat perkara tersebut mengikut lunas perundangan.
Namun, setakat ini kerajaan masih belum dapat mengenal pasti jumlah keseluruhan kerugian, seperti yang dilapor oleh EMIR Research.
Kajian itu turut menjelaskan anggaran kerugian yang dihadapi negara bermula dari Krisis Kewangan Asia pada 1997 sehingga 2023 adalah secara konservatif dan jumlahnya berkemungkinan lebih besar. – JURNAL
Sumber: MAJORITI