FIFA kini sedang menjalankan siasatan ke atas cef selebriti terkemuka dunia iaitu Salt Bae berhubung akses diperolehinya ketika meraikan kejayaan Argentina di atas padang usai memenangi perlawanan akhir Piala Dunia 2022 di Qatar.
Ini ekoran Bae atau nama sebenarnya Nusret Gokce telah menyiarkan beberapa keping gambar dirinya memegang trofi Piala Dunia di media sosial pada Ahad. Pemilik rangkaian restoran stik mewah itu juga dilihat cuba bergambar dengan Lionel Messi serta beberapa pemain pasukan Argentina.
Kehadirannya sejurus penyampaian trofi berprestij itu menjadi fokus subjek siasatan FIFA sementelah dikritik hebat peminat bola sepak dari seluruh dunia.
Kenyataan dikeluarkan badan induk bola sepak dunia itu telah dihebahkan dan tular sejak semalam.
“Berdasarkan aduan dibuat, FIFA sedang menyiasat prosedur pemberian akses kepada individu luar sewaktu acara penutupan di Stadium Lusail pada 18 Disember lalu.
“Tindakan dalaman yang sewajarnya akan diambil,” memetik kenyataan itu.
Awal bulan ini, Bae menyiarkan imejnya di Instagram pada perlawanan Piala Dunia bersama presiden FIFA, Gianni Infantino dan beberapa pemain hebat Brazil iaitu Ronaldo, Cafu serta Roberto Carlos. – JURNAL