Adakah pasukan Harimau Malaya akan beraksi tanpa penyokong yang penuh di Stadium Nasional Bukit Jalil sama seperti saingan Piala AFF 2022 berdepan Thailand pada awal tahun lalu disebabkan konsert penyanyi Taiwan, Jay Chou.
Hal ini kerana skuad negara akan beraksi di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi Kelayakan Piala Asia 2027 sehari sebelum konsert kumpulan muzik dari United Kingdom (UK), Coldplay.
Bagaimanapun situasi itu tampak mungkin tidak akan berlaku apabila Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan beberapa pilihan sudah dibincangkan sebagai penyelesaian terbaik.
“Memang isu stadium, kita akan kena seimbangkan antara sukan (bola sepak) dengan konsert. Yang ini (isu pertindihan venue), kita sudah bincangkan beberapa pilihan.
“Tetapi saya tak nak umumkan pilihan ini kerana kita perlu tunggu undian pada Julai nanti,” kata Hannah ketika ditemui selepas Majlis
Rangkuman Kontinjen Malaysia di Sukan SEA 2023 di Majlis Sukan Negara (MSN), hari ini.
Sebelum ini, Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, pihaknya sudah membincangkan perkara ini bersama Hannah Yeoh dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Stadium Malaysia (PSM), Mohd Faidz Sanusi bagi mengelakkan isu sama berulang.
“Perkara ini sudah dibincang dengan Menteri dan CEO PSM, saya sudah menyatakan perkara ini kali kedua terjadi dan ia tidak boleh terjadi lagi. Menteri setuju kerana kita sudah memaklumkan kontrak kita dengan PSM ini yang mana semua perlawanan dalam kalendar Fifa.
“Kalau nak buat apa-apa kena maklum dengan kita. Kalau tak, buat apa tandatangan kontrak dengan PSM, baik pergi stadium lain. Tapi sudah dapat penyelesaian dengan menteri bahawa kita lihat dulu undian Piala Asia.
“Kita sudah buat beberapa persiapan untuk melihat kalau perlawanan pada 21 November itu berlaku, main dekat sini. Kita akan cuba untuk membuat rayuan semula. Jadi ada beberapa kemungkinan kerana perlawanan di luar kalendar Fifa tetapi persiapan lima, enam hari sebelum itu. Jadi mungkin ada sebahagian tak boleh digunakan.
“Apapun, tunggu Julai (undian kelayakan Piala Asia) nanti,” katanya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro