Jemaah haji dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di bawah terik matahari dan bersiap sedia dari segi mental dan fizikal ekoran suhu panas hingga mencecah 40 darjah Celsius pada waktu siang yang melanda Tanah Suci ketika ini.
Pengarah Operasi Madinah Ashrof Shamsuddin berkata, suhu di sini ketika ini mencecah 40 darjah Celsius pada sebelah siang dan 26 darjah Celsius waktu malam.
Beliau berkata, keadaan cuaca di Arab Saudi adalah panas dan kering berbanding di Malaysia iaitu panas dan lembap.
“Kementerian Kesihatan Malaysia sudah mengingatkan jemaah haji supaya banyakkan minum air kosong, berada di tempat yang tidak terdedah secara terus kepada cuaca panas serta tidak memakai pakaian ketat,” katanya.
Beliau turut mengingatkan jemaah haji supaya menyertai kumpulan WhatsApp mengikut jadual penerbangan masing-masing untuk mendapatkan maklumat terkini berhubung aktiviti ketika musim haji 1444 Hijrah.
Menurutnya, inisiatif dilaksanakan Tabung Haji (TH) pada tahun ini bertujuan memudahkan jemaah haji mengetahui aktiviti harian mereka berbanding kaedah menampal notis sebelum ini.
“Aktiviti kumpulan penerbangan ini berbeza-beza, jadi dengan mengetahui maklumat secara terus di hujung jari akan memudahkan jemaah,” katanya.
Beliau berkata, bagi warga emas yang tidak mempunyai aplikasi itu, rakan sebilik mereka diharap membekalkan maklumat yang disampaikan TH dari semasa ke semasa.
Dalam pada itu, Ashrof berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 45 penerbangan jemaah haji Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad bin Abdulaziz di sini secara berperingkat bermula 21 Mei ini.
Ashrof berkata, jemaah haji akan ditempatkan di tiga bangunan di sini dan berada selama enam hari sebelum berangkat ke Makkah.
Sepanjang berada di Madinah, pelbagai aktiviti diatur antaranya menziarahi makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah di Masjid Nabawi serta menziarahi tempat bersejarah di sini.
“Persiapan menanti ketibaan jemaah haji berjalan lancar dan kita bersedia menerima duyufurrahman (tetamu Allah),” katanya menambah secara keseluruhan 14,000 jemaah akan tiba di Madinah secara berperingkat. – JURNAL
Sumber: KOSMO!