Niat asalnya sekadar mahu membantu suami, tetapi tanpa diduga membenihkan rasa cinta buat pemilik bersama empayar King Laksa Sarawak iaitu Nur Alya Mona Jikim, 38, untuk fokus mengusahakan bisnes makanan dan minuman (F&B).
Malah dengan minat dan kesungguhan, anak jati Sarawak itu enggan menoleh ke belakang dalam mengangkat jenama makanan tersebut yang diusahakan sejak 2017.
Sehingga kini, jenama popular di bumi Kenyalang yang berdaftar di bawah syarikat Rizalya Sdn Bhd itu sudah mempunyai dua cawangan restoran iaitu di Kota Samarahan dan ICOM Square.
“Insya-Allah cawangan ketiga akan dibuka pada Januari tahun depan di Metro City, Kuching.
“Kami berjaya bangkit semula di era pandemik dengan penuh optimis membuka cawangan kedua di ICOM Square. Permintaan dan peningkatan jualan juga mendadak naik ketika itu.
“Insya-Allah, lima hingga 10 tahun lagi, kami bercadang membuka beberapa cawangan lagi di bandar-bandar besar di sini. Setiap cawangan juga disasarkan mendapatkan keuntungan RM4 juta setahun,” kata isteri kepada Rizal Jamali itu yang mesra disapa Alya.
Alya juga menambah, dalam tempoh masa sama, dia turut merancang untuk membuka cawangan restorannya di Semenanjung jika tiada aral melintang.
“Pada masa sama, kami mahu terus memberikan perkhidmatan dan layanan terbaik kepada pelanggan tercinta menerusi motto Positive Customer Experience Journey.
“Ia termasuk menyediakan manual operasi perniagaan bagi pasukan kerja dan pengurusan menjalankan aktiviti harian membabitkan pelanggan termasuk maklum balas sebarang ketidak puasan hati pihak mereka,” kata ibu kepada dua cahaya mata berkenaan.
Usahawan itu turut berpandangan jauh menjanakan visi perniagaannya yang berpaksikan tekad ingin memasak dan menghidangkan makanan berkualiti tanpa kompromi kepada pelanggan, di samping misi mahu mengangkat menu dan masakan tradisi Sarawak ke mata dunia. – JURNAL