Negara kehilangan legenda sukan sepak takraw apabila raja libas tanah air, Adnan Saidin, 66, menghembuskan nafas terakhirnya pada jam 6 pagi semalam di Alor Setar, Kedah.
Berita sedih itu disahkan oleh anak ketiganya, Mohd Faizal Adnan yang juga bekas perejam negara, Kedah dan Negeri Sembilan melalui laman media sosial Facebooknya.
“Assalamualaikum, untuk makluman bapa saya, Adnan Saidin baru sahaja menghembuskan nafas terakhir selepas subuh tadi, mohon sedekah al-Fatihah kepada arwah bapa saya.
“Semoga Allah ampunkan segala dosa dan terima amalannya,” tulisnya.
Allahyarham dimasukkan ke Pusat Perubatan Kedah (KMC) sejak minggu lalu setelah paru-parunya dijangkiti kuman dan kemudiannya dipindahkan ke Hospital Sultanah Bahiyah.
Adnan yang mewakili negara dari tahun 1980 hingga 1986, terkenal dengan libas pari di posisi apit kiri dan kerap digandingkan dengan Shukri Ismail sebagai apit kanan atau pengumpan dan Azman Ismail sebagai tekong.
Bersama Kedah, mereka juga pernah menjulang Piala Emas Khir Johari dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan pada edisi 1981, 1985, 1986 dan 1987.
Anak kelahiran Alor Setar, Kedah itu pernah bergelar Pemain Terbaik Asia 1984 dan Raja Sepak Takraw Asia 1986.
Rejaman Adnan bukan sahaja membantu Malaysia memenangi pingat emas Sukan SEA Jakarta 1979, Manila 1981 dan Singapura 1983, tetapi turut menghadirkan gerun buat musuh tradisi, Thailand. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN