Baru-baru ini tular video seorang wanita berkongsi kandungan berunsur lucah yang berkaitan hal ‘dalam kain’ suami isteri secara terbuka di media sosial.
Rentetan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar telah mengarahkan pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membuat laporan berhubung isu berkenaan.
“Saya juga telah mengarahkan Jakim untuk memanggil dan membuat pertemuan bersama pihak yang berkaitan dengan memberikan nasihat serta bimbingan,” ujarnya.
Sementara itu, beliau juga telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap wanita tersebut.
Pada masa sama beliau menegaskan bahawa sebagai orang Islam, hal kelambu suami isteri tidak seharusnya dibincangkan secara terbuka kerana perlu menjaga akhlak seorang Muslim.
“Apatah lagi topiknya dengan menggunakan bahasa berbaur lucah. Ini bukan akhlak Islam,” tegasnya.
Terdahulu, pendedahan berkenaan kegiatan wanita itu telah dilakukan oleh seorang pengguna Twitter serta difahamkan wanita tersebut sangat aktif di Facebook (FB) dan TikTok.
Malah bukan itu sahaja, dia juga telah mewujudkan sebuah grup di Telegram sebagai platform untuk menyebarkan aktiviti seksual suami isteri dan sebagai tempat untuk pengikutnya meluahkan masalah hubungan intim.
Setelah kegiatannya itu ditularkan, ramai warganet menggesa pihak berwajib mengambil tindakan terhadap wanita berkenaan kerana perbuatannya sangat melampaui batas agama. – JURNAL