Syarikat kosmetik, Ailezee Rich memulakan tindakan undang-undang terhadap Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) berikutan isu yang tular di platform media sosial baru-baru ini.
Surat tuntutan telah dihantar kepada SIRIM menerusi peguam dilantik, Nur Nazuha Zohor Ali dari Tetuan Raidah Nazuha Law Chambers pada 7 Disember lalu.
Nur Nazuha menerusi sidang media pada Rabu berkata, tindakan diambil selepas mengambil kira beberapa faktor melibatkan anak guamnya, pengasas produk Skin Dessert iaitu Zirra Abdullah dan Pengarah Urusan, Mohd Aliff Abd Kadir.
Menurutnya, isu bermula selepas anak guamnya memuat naik foto di hadapan bangunan SIRIM di media sosial pada Oktober lalu bertujuan untuk memaklumkan bahawa produk keluarannya sedang menjalani proses ujian dikendalikan badan berkanun tersebut.
Bagaimanapun kekeliruan berlaku selepas SIRIM menerusi akaun rasmi media sosialnya meninggalkan komen bahawa mereka tidak pernah menjalankan sebarang pengujian ke atas produk Skin Dessert seperti mana kelihatan dalam foto dimuat naik Zirra.
Tambahnya lagi, Skin Dessert ketika ini masih memberi peluang kepada SIRIM untuk menjelaskan semua tuntutan yang dikemukakan.
“Penjelasan semula SIRIM adalah penting memandangkan komen yang ditinggalkan di media sosial Zirra adalah kenyataan yang tidak menggambarkan situasi sebenar, sekali gus menimbulkan keraguan kepada umum.
“Tindakan itu juga mengundang fitnah yang mampu merosakkan reputasi, integriti dan kebolehpercayaan awam secara umum oleh stokis, agen serta pengguna terhadap Skin Dessert.
“Kenyataan institut itu menyebabkan masyarakat beranggapan Skin Dessert ada agenda tersembunyi dan jenama yang tidak dipercayai.
“Anak guam saya turut mengalami tekanan emosi memandangkan tidak dibenarkan membuat sebarang kenyataan mengenai isu berkenaan.
“Lebih teruk apabila mereka turut menerima ugutan jenayah daripada pihak-pihak tertentu selain mengalami 60 peratus kerugian yang mencecah jutaan ringgit.
Sementara itu Zirra berkata perkara tersebut sememangnya meninggalkan kesan terhadap emosinya kerana ia melibatkan banyak pihak.
“Bukan saya seorang sahaja terlibat, bahkan para ejen dan stokis juga. Pendapatan mereka terjejas dan terpaksa dihentikan gara-gara isu terbabit.
“Suami jadi saksi perjalanan saya selama dua bulan ini, tetapi tidaklah sampai bertemu pakar psikatri. Keluarga juga perasan perubahan diri saya yang lebih banyak berdiam diri.
“Saya kesal dan tidak menyangka sama sekali apabila menerima ugutan daripada pihak yang berniat ingin mencederakan dengan ancaman mahu menyimbah asid ke muka saya.
“Semua ugutan ini diterima ketika kami menguar-uarkan tentang sebuah program di media sosial beberapa hari lalu,” katanya.
Bagaimanapun Zirra mengakui belum lagi membuat laporan polis kerana mahu memberi tumpuan kepada sidang media terlebih dahulu.
Mengulas mengenai ugutan tersebut, peguam Zirra menegaskan pihaknya tetap akan membuat laporan polis kerana ia merupakan satu jenayah dan membabitkan keselamatan anak guamnya. – JURNAL