Seramai 30 pelatih daripada pelbagai Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tamat menjalani program PENJANA KPT Career Advancement Programme (PENJANA-KPT-CAP) – Program i-Digital Broadcast Journalism (i-DBJ) bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan KRU MasterClass.
Program i-DBJ telah dibina dengan kolaborasi bersama pemain industri yang terkemuka dalam pembinaan kandungan dan teknologi iaitu KRU MasterClass Sdn. Bhd., Nurflix Sdn. Bhd, Bacalah Malaysia.com yang sangat berpengalaman dalam memastikan mutu kualiti program i- DBJ adalah terkini dan berdaya saing.
Berlangsung selama 20 hari secara hibrid di USIM, KRU memberi pendekatan teori dan amali (hands-on) sepanjang program dijalankan dalam produksi video / audio dan juga penulisan.
Ia sekali gus meletakkan barisan graduan Program Komunikasi, Fakulti Kepimpinan & Pengurusan USIM dan graduan IPTA lain sebagai tumpuan perhatian industri terutama kepada mereka yang memiliki pengetahuan tentang bidang kewartawanan penyiaran, penghasilan kandungan media, penerbitan video dan audio serta penulisan skrip dan berita.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif KRU MasterClass, Datuk Norman Abd Halim berkata, kejayaan program ini termasuk kerjasama yang terjalin di antara Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) kerana telah memberikan dana, selain sokongan tidak berbelah bahagi USIM.
“Jutaan terima kasih diucapkan kepada pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk kelulusan dana yang telah disalurkan bagi penganjuran program ini.
“Setinggi-tinggi penghargaan juga diberikan khususnya kepada rakan pelaksana program iaitu pihak Pusat Alumni & Kerjaya USIM dan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan (FKP), USIM dan KRU MasterClass,” katanya.
Tambah Norman, sepanjang 20 hari program pelatih telah belajar untuk menguasai beberapa modul pembelajaran seperti Penerbitan Video, Penyiaran dan Kewartawanan, Mobilegraphy, Undang-Undang dan Kandungan Media, Portal Berita Dalam Talian dan Penulisan Skrip.
“Graduan yang mengikuti program latihan ini secara tidak langsung dapat menambah kemahiran dalam bidang sedia ada.
“Lebih menarik lagi, pelatih juga berpeluang memperoleh penempatan pekerjaan sepenuh dan separuh masa dalam bidang kewartawanan atau penerbitan video selepas tamat pengajian.
“Sepanjang program berlangsung, ia dilihat mencapai objektif awal apabila semua pelatih berjaya menyiapkan tugasan diberikan serta menerbitkan video kreatif.
“Pihak syarikat KRU juga telah menjalankan sesi temuduga untuk kesemua pelatih pada akhir program bagi memenuhi syarat program dan memberi tawaran pekerjaan,” katanya.
Pada 18 April lalu, semua pelatih telah menerima sijil tamat program pada Majlis Penutup Program di USIM dengan kehadiran Norman dan Pengarah Pusat Alumni & Kerjaya USIM Tuan Haji Mazlan Nawang serta pihak pengurusan KRU MasterClass & USIM.
“Buat para pelatih program, tahniah diucapkan kerana anda semua telah memanfaatkan segala input dari program yang telah dijalankan ini dengan sangat baik dan berjaya mengikuti keempat-empat modul program.
“Terima kasih tidak terhingga dari pihak pengurusan dan penganjur untuk kerjasama daripada kalian semua yang amat membanggakan bagi menjayakan program ini sehingga tamat.
“Diharapkan semua pelatih berjaya dalam mendapat penempatan pekerjaan dalam bidang ini serta mampu menghasilkan berita yang bernilai tinggi dan mendapat kredibiliti daripada masyarakat,” kata Norman lagi. – JURNAL