Selepas belum berpeluang menyambut Aidilfitri bersama anak keempat, madu kepada pelakon Miera Leyana, Adibah Abdul Mutalib sekali lagi sedih apabila ‘kehilangan’ anak bongsunya pula.
Adibah, 50, mendakwa anak kelima iaitu Nurin Tasnim Rosland, 11, diambil suaminya Rosland Othman selepas kanak-kanak itu menjalani aktiviti kokurikulum di sekolah Rabu lalu.
Menceritakan kejadian, Adibah berkata, dia panik apabila Tasnim tidak muncul selepas hampir dua jam menunggu di hadapan sekolah.
“Namun gerak hati saya seakan dapat meneka suami yang mengambilnya.
“Saya menyuruh seorang lagi anak menghubungi Rosland untuk kepastian dan dia mengaku mengambil Tasnim,” katanya ketika ditemui di Mahkamah Syariah di sini, selepas perbicaraan kes nusyuz dan hadanah, pada Selasa.
Sebelum ini, Adibah dilaporkan terkilan kerana masih belum berpeluang menyambut Syawal bersama anak keempatnya, Nur Anisa Rosland, 12.
Adibah dipetik berkata, sejak diambil suami pada Februari lalu, dia hanya dapat meluangkan masa hanya sehari saja dengan Anisa pada minggu pertama Ramadan lalu.
Mengulas lanjut, Adibah berkata, dia kecewa dengan tindakan suaminya itu sedangkan dia tidak pernah menghalang Rosland daripada menemui anaknya.
“Sebagai ibu pastinya saya berasa sangat kecewa kerana dia mengambil tanpa memaklumkan terlebih dulu.
“Jika dimaklumkan sekurang-kurangnya terubat rasa kekecewaan itu. Saya bukan mahu dihormati tetapi hargailah saya sebagai ibu kepada anak kami,” katanya.
Ditanya adakah dia ada menghubungi anak bongsunya selepas kejadian itu, Adibah mendakwa hanya sempat berbual seketika dengan Tasnim.
Mengenai hadanah iaitu hak penjagaan dua anak iaitu Nur Anisa dan Tasnim yang difailkan Rosland, Adibah hanya mengetahui perkara itu melalui peguamnya.
Namun, katanya, dia akan memperjuangkan haknya sebagai ibu serta tetap dengan pendirian mahu menyelamatkan rumah tangga yang dibina selama 28 tahun.
“Kalau boleh saya tidak mahu berpisah, apa pun saya serahkan kes ini kepada mahkamah,” katanya. -JURNAL
Sumber: HARIAN METRO