Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) membentuk sebuah pasukan petugas (task force) dalam memastikan kelancaran dwirangkaian 5G di negara ini.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, penubuhan itu susulan pertemuan KKD bersama pihak penyedia perkhidmatan bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah Digital Nasional Berhad (DNB) berjaya mencapai 80 peratus liputan menjelang hujung tahun ini serta peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar pada awal tahun depan.
Katanya, task force ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa serta diurusetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Selain itu, task force ini akan turut dianggotai oleh pihak DNB dan pihak penyedia perkhidmatan termasuklah CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications (YTL) dan U-Mobile serta pihak-pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa,” katanya dalam sebuah kenyataan akhbar.
Jelasnya, adalah menjadi matlamat utama task force ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan. – JURNAL