Hero filem The Terminator, Arnold Schwarzenegger meraih pujian penduduk di kejiranannya apabila menampal sendiri lubang di atas jalan raya menggunakan kudratnya.
Schwarzenegger, 75, bertindak demikian terhadap sebuah lubang besar yang sudah lama belum dibaiki dan telah menyusahkan pengguna jalan raya di kawasan kejiranannya selama berminggu-minggu.
Bekas Gabenor California itu berkongsi video di laman Twitter yang menunjukkan dia dan dua lelaki lain menggunakan konkrit berbungkus untuk membaiki jalan di kawasan Brentwood di samping beberapa lagu yang dimasukkan.
“Hari ini (Selasa), selepas seluruh kawasan kejiranan kecewa dengan jalan berlubang gergasi ini yang merosakkan kereta dan basikal selama berminggu-minggu.
“Saya keluar bersama pasukan saya dan membetulkannya. Saya selalu berkata, jangan mengeluh, mari kita lakukan sesuatu mengenainya,” ciap Schwarzenegger.
Lelaki itu memakai kasut but kerja dan jaket kulit ketika melakukan kerja-kerja menampal jalan raya tersebut.
Penduduk Brentwood dilaporkan telah membuat permintaan berulang kali untuk kerja-kerja pembaikan sejak ribut musim sejuk melanda sebelum ini sehingga menyebabkan jalan raya berlubang dan retak. – BOOM!