Pemandu lori maut dihempap kayu balak semasa menurunkan muatan tersebut di Kilang Papan Sri Wangsa, Kawasan Perindustrian Gua Musang, Kelantan.
Dalam kejadian 2.15 petang semalam, Norazlan Hamdan, 53, yang baru saja dua bulan memulakan kerja meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Gua Musang.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kejadian daripada pengurus syarikat tempat mangsa bekerja, kira-kira jam 4 petang.
“Siasatan awal mendapati mangsa dihempap kayu balak semasa menurunkan kayu balak dari lori di sebuah kilang papan.
“Mangsa sampai di tempat kejadian 2.15 petang dan cuba untuk menurunkan kayu balak dengan kaedah yang biasa diamalkan iaitu membuka empat rantai dan kunci kecuali di bahagian tengah.
Apabila membuka kunci rantai, mangsa pergi ke arah kanan lori dan bertindak menarik rantai dan tiba-tiba sebatang kayu balak jatuh menimpa bahagian badannya.
“Rakan sekerja yang melihat kejadian membawa lelaki itu ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut, namun mangsa disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah .
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Kami mengingatkan supaya mana-mana individu tidak membuat spekulasi dan menghormati privasi keluarga si mati,” katanya. – JURNAL