Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim tegas dengan keputusan untuk tidak membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Beliau berkata, meskipun ia keputusan tidak popular kerana tidak membenarkan pengeluaran, tetapi pihaknya perlu memastikan simpanan masa depan pencarum terjamin seperti akur janji dan akad dibuat mereka.
“Saya percaya isu ini (pengeluaran KWSP) akan terus dipermainkan sebagai isu politik termasuk dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Dalam pengurusan dan kebijaksanaan, kita mesti membuat keputusan benar yang tidak harus diheret bagi mengambil keputusan hanya untuk memenuhi selera beberapa kerat manusia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Ibu Pejabat Baharu KWSP di Kwasa Damansara, hari ini.
Turut hadir Pengerusi KWSP, Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir; Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan dan Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Datuk Johan Mahmood Merican. – JURNAL
Sumber: Harian Metro