Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, meminta orang ramai untuk mendoakan kesihatan bapa mentuanya yang juga bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, yang kini semakin merosot.
Khairy Jamaluddin berkata, Abdullah atau lebih mesra dipanggil Pak Lah itu nampak sihat namun pemikirannya dan memorinya semakin lemah.
“Ada soalan yang saya nampak dan ingin mengetahui mengenai perkembangan terkini Pak Lah. Tubuh badannya nampak sihat, Alhamdulillah, tetapi daripada segi fungsi mindanya, tahapnya semakin merosot dan berada pada tahap ‘advance’.
“Jadi saya minta orang ramai untuk doakan kesihatan dan kesejahteraannya,” katanya menerusi Podcast Keluar Sekejap (KS) yang dikendalikan bersama bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Terdahulu, bekas Ketua Pemuda UMNO itu ketika menjadi Menteri Kesihatan mendedahkan mengenai penyakit demensia yang dihidapi oleh Pak Lah.
Katanya, Pak Lah mula menunjukkan tanda kemerosotan kognitif (cognitive impairment) sejak 2009 selepas beliau bersara daripada jawatan Perdana Menteri.
Menurut Khairy Jamaluddin, pada ketika itu beliau bertanyakan pandangan keluarga mentuanya sama ada boleh berkongsi mengenai kesihatan Pak Lah kepada umum.
“Kerana bagi saya penting untuk kita berikan perhatian dan tumpuan kepada penyakit demensia atau kognitif ini. Sebab kini semakin ramai orang tua menghidap penyakit demensia ini.
“Jadi saya maklumkan sebelum ini bahawa Pak Lah menghidap demensia, walaupun tubuh badannya sihat tetapi penyakit ini memberi kesan kepada pemikiran beliau, tahap memori dan ingatannya tiada,” katanya.- JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE.