Dua remaja mengaku bersalah di Mahkamah Khas Trafik Kuantan, pada Jumaat kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang dan membonceng motosikal di Jalan Chendor, di sini menghala ke Kemaman, Terengganu, 12 Mac lalu.
Pasangan masing-masing berusia 17 tahun itu membuat pengakuan demikian selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Majistret Fatinah Abu Bakar.
Remaja lelaki yang bekerja di kedai cuci kereta dituduh sebagai penunggang motosikal jenis Honda EX5 berwarna putih, melakukan aksi berbahaya dengan mengangkat tayar hadapan hingga membahayakan pengguna jalan raya lain pada jam 5.30 petang 12 Mac lalu.
Sementara, remaja perempuan yang juga pelajar Tingkatan Lima dituduh sebagai pembonceng, membantu penunggang melakukan aksi berbahaya terbabit dan mengancam pengguna jalan raya lain.
Kesalahan itu dilakukan dari arah Jalan Chendor ke Kemaman dan mereka didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM15,000.
BACA: [V] Polis Cari Penunggang Motosikal Buat Aksi Wheelie Pakai Baju Melayu
Kedua-duanya juga boleh hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu untuk tempoh kurang dua tahun dari tarikh sabitan dan jika sabitan kedua, seterusnya hilang kelayakan selama 10 tahun.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nafizah Ismail.
Mahkamah menetapkan 7 Jun depan untuk keputusan, sementara menunggu laporan sosial dan menetapkan ikat jamin RM800 setiap seorang dengan seorang penjamin.
Pada 30 April lalu, tular video berdurasi 54 saat di media sosial aksi ‘wheelie’ membabitkan dua individu yang menunggang dan membonceng motosikal di Jalan Chendor menghala ke Kemaman.
BACA: [V] Polis Cari Penunggang Motosikal Buat Aksi Wheelie Pakai Baju Melayu
Susulan video itu, pasangan berkenaan ditahan pada 1 Mei lalu. – JURNAL
Sumber: Harian Metro