Pakar bedah kelahiran Malaysia yang menetap di London, England, Dr Amalina Che Bakri tidak menyangka soal jawab mengenai khatan bayi perempuan yang dikongsi untuk tujuan ilmiah menyebabkan anaknya dilemparkan kata-kata lucah.
Dr Amalina menerusi perkongsian di halaman Twitter miliknya meluahkan rasa kesal dengan sikap sesetengah netizen yang membuat kenyataan lucah terhadap bayi perempuannya yang baru berusia sembilan minggu.
Tegasnya, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sebagai pengajaran kepada semua.
“Assalamualaikum, saya berbelah bahagi untuk menulis kenyataan ini tetapi saya mengambil keputusan untuk bersuara kerana terdapat sesetengah lelaki melayu Islam dan juga perempuan membuat kenyataan lucah terhadap anak perempuan saya yang hanya berumur 9 minggu.
“Saya banyak membuat soal jawab untuk berkongsi ilmu perubatan kepada pengikut saya. Kenyataan yang saya buat di Instagram telah menjadi viral apabila jawapan kepada soalan pengikut diambil oleh penulis artikel tabloid untuk dijadikan bahan berita mereka.
“Setelah artikel dikeluarkan dan dikongsi di Facebook, bermacam kata-kata jelik, lucah dan hinaan dikeluarkan.
“Saya tidak terkesan sekiranya kata-kata tersebut ditujukan kepada saya, tetapi mereka sudah melampaui batas apabila membuat kenyataan berbaur lucah terhadap anak saya yang tidak berdosa sekalipun. Please leave my daughter alone!
“Untuk makluman, saya dalam proses mengambil tindakan undang-undang supaya menjadi pengajaran kepada semua. Saya juga ingin menegur penulis-penulis artikel yang suka membuat headline clickbait atau mengambil cerita remeh,” katanya.
Dalam pada itu, netizen turut menyokong Dr Amalina mengenakan tindakan undang-undang terhadap individu melampau sebagai peringatan. – JURNAL