Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menasihatkan pasangan pendakwah bebas, Siti Afifah Shahbudin dan suaminya, Zaidi Tohrin agar menggunakan pendekatan berhemah dalam menyampaikan dakwah.
Memetik laporan Harian Metro, pihak JAKIM sedia maklum tentang video tular memaparkan sepasang suami isteri yang sering mengeluarkan kenyataan kontroversi termasuk mengancam akan mengambil tindakan undang-undang terhadap individu tertentu.
BACA: [V] “Kepada Amin Idris, Urusan Kita Tidak Selesai Di Dunia Ini” – Suami Siti Afifah Beri Amaran
“JAKIM dan pihak berkuasa agama negeri sentiasa membuat pemantauan ke atas kandungan berkaitan hal ehwal agama Islam yang dipaparkan kepada khalayak khususnya melalui penggunaan media sosial.
“Semua pihak khususnya golongan yang bergelar pendakwah adalah dinasihatkan agar sentiasa menggunakan pendekatan sesuai dan berhemah ketika berdakwah.
“Kenyataan yang bersifat kontroversi dan boleh menimbulkan kegusaran awam hendaklah dielakkan,” katanya.
Sebelum ini, ceramah mengenai hukum agama disampaikan Zaidi dan Afifah didakwa sering menimbulkan kekeliruan, sekali gus mengundang pelbagai reaksi warganet.
BACA: [V] Dakwa Difitnah, Siti Afifah Dan Suami Bakal Failkan Saman, Ustaz Azhar Idrus Pun Kena?
Terbaharu, pasangan itu bertindak mengkritik malah mengancam bakal memfailkan saman terhadap agamawan yang menegur atau menyangkal hujah mereka.
JAKIM berkata, semua pendakwah di negara ini adalah terikat dengan sistem pentauliahan di bawah pihak berkuasa agama Islam di negeri-negeri.
“Sebarang perlakuan yang bercanggah dengan peraturan dan undang-undang yang sedang berkuat kuasa boleh dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.
“Adalah wajar untuk semua pihak mengambil pendekatan sederhana dalam setiap aspek tanpa mengabaikan tuntutan syarak termasuk mengutamakan keharmonian hidup dalam masyarakat,” katanya. – JURNAL
Sumber: Harian Metro