Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dilantik sebagai Ketua Pengarah Kesihatan yang baharu berkuatkuasa 21 April lalu.
Dilahirkan di Butterworth, Pulau Pinang pada 1 Mei 1965.
Beliau berkelulusan LRCP dari Royal College of Physician (Dublin), 1991.
Seterusnya beliau diterima menjadi Member of Royal College of Physician (UK), 1997 dan memperolehi Sarjana Perubatan (USM), 1997.
Beliau menjalani latihan sub kepakaran gastroenterologi dan hepatologi bersama MOH, 1998; USM, 1999 dan Royal Melbourne Hospital, Australia, 2000.
Kemudian beliau diterima menjadi Fellow Royal Colllege of Physician (Edinburgh) dan menjadi Felo Akademi Perubatan Malaysia .
Memulakan kerjaya sebagai doktor pelatih di Hospital Besar Kuala Lumpur (1991-1992) sebelum ke Hospital Besar Kota Bharu (1992-1994).
Seterusnya Klinik Pakar Perubatan di Hospital Kuala Terengganu (1998) dan sekembali daripada latihan di Australia ditempat di Hospital Sultanah Bahiyah, 2001 hingga sekarang.
Mengulas mengenai pelantikan beliau, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa dalam satu kenyataan berkata, Dr Muhammad Radzi dilantik berdasarkan pengalaman yang luas dalam bidang perkhidmatan kesihatan negara.
“Saya yakin dengan pengalaman, pengetahuan dan kepakaran serta kredibiliti Dr Radzi mampu memberikan yang terbaik dan menjadi rakan pasukan bersama saya dalam memastikan matlamat dan agenda reformasi kesihatan negara dklaksanakan secara menyeluruh,” katanya.
Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, ini selaras dengan Kertas Putih Kesihatan yang sedang dibangunkan agar masyarakat Malaysia Madani dapat terus menikmati perkhidmatan Kesihatan yang komprehensif, berkualiti serta mampan.
Untuk info, perlantikan Dr Muhammad Radzi yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Penyelidikan dan Sokongan Teknikal) adalah menggantikan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bersara baru-baru ini. – JURNAL