Empat sekeluarga ditemukan pengsan dalam kenderaan dipercayai akibat kekurangan oksigen dekat Plaza Tol Bentong petang semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian disedari Inspektor Ridhwan Kassim dan Koperal Mohamad Azuwan Aziz sebelum bergegas memberi bantuan awal kepada mangsa.
“Dalam penyelamatan itu, anggota polis itu turut dibantu oleh anggota peronda lebuh raya, orang awam dan pihak Lebuhraya Pantai Timur (LPT).
“Pegawai bertugas juga telah mengeluarkan mangsa dari kereta dan menghubungi hospital untuk tindakan susulan,” katanya.
Sebelum kejadian kereta yang dinaiki keluarga terbabit turut melanggar pintu tol Bentong.
“Dipercayai semua empat mangsa, seorang lelaki, wanita dan dua kanak-kanak telah pengsan. Semua mangsa dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong, Selangor.
“Hasil pemeriksaan doktor mendapati semua mangsa kekurangan oksigen, tindakan pantas itu dapat menyelamatkan empat nyawa,” katanya.
Katanya, polis berharap semua pengguna jalan raya berhati-hati semasa memandu di musim perayaan ini.
Sementara itu, anak sulung mangsa melalui laman Facebook, Syafid Mok, memaklumkan semua ahli keluarganya yang terbabit dalam kejadian itu sudah kembali sedar.
“Punca pengsan dipercayai disebabkan keracunan oksigen penghawa dingin kenderaan.
“Saya berterima kasih kepada semua anggota dan orang ramai yang membantu keluarga saya, Allah membalas jasa kalian,” katanya. – JURNAL
Sumber: BERITA HARIAN