Cef terkenal antarabangsa Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae dikecam warganet seluruh dunia selepas dia dilihat sakan mengambil gambar bersama pemain-pemain Argentina di Piala Dunia 2022 selepas selesai perlawanan akhir.
Seperti yang semua tahu, Argentina telah memenangi Piala Dunia pada tahun ini dan Nusret dilihat telah meraikan bersama-sama pemain pasukan itu di atas padang.
Dalam video-video serta gambar yang dimuatnaiknya di Instagram, dia dilihat telah merakam kenangan bersama beberapa orang permain Argentina termasuklah Lionel Messi, Di Maria, Lisandro Martinez dan Cristian Romero.
Namun apa yang membuatkan netizen kurang senang ialah dia dilihat seolah-oleh tidak menghormati trofi Piala Dunia apabila sesuka hati menyentuh dan mencium piala keramat itu.
Dia juga dilihat membuat gaya ikoniknya iaitu gaya menabur garam di atas trofi berkenaan.
Disebabkan itu, ruangan komen Instagram Nusret dihujani dengan ribuan komen kecaman.
Mereka menggelarnya sebagai seorang yang gila perhatian dan tidak menghormati trofi Piala Dunia yang seharusnya hanya layak disentuh oleh mereka yang memenanginya sahaja.
Disebalik kecaman itu, ada juga netizen yang membela tindakannya dengan berkata bahawa Nusret merupakan penyokong tegar pasukan Argentina sejak dari hari pertama dan dia sekadar ingin meraikan detik kemenangan itu bersama pasukan kegemarannya. – JURNAL