Ketika umat Islam di seluruh dunia teruja menanti ketibaan Syawal, seorang warga emas pula diuji dugaan apabila didakwa dipukul oleh peniaga lemang.
Menerusi video tular, kejadian bermula apabila berlaku pertengkaran antara warga emas dan peniaga lemang tersebut dalam kejadian di Bukit Beruang, Melaka sehari sebelum 1 Syawal.
Dalam rakaman itu, warga emas terbabit dilihat melempar potongan lemang ke atas meja gerai lemang itu sebelum peniaga berkenaan berang dan memukul mangsa sehingga mengalami kecederaan.
Video berkenaan dimuat naik oleh pengguna Facebook, Sharina Shamuddin di laman Facebook Geng Viral Melaka.
Difahamkan, warga emas lelaki tersebut merupakan bapa kepada Sharina.
“Peniaga lemang kurang ajar, kejadian berlaku lebih kurang pukul 8 malam tadi (Jumaat).
“Pagi tadi abah (ayah) saya membeli lemang di gerai berdekatan Bukit Beruang.
“Abah saya beritahu peniaga, tahun lepas beli lemang di gerai tersebut dan banyak yang tidak masak. Peniaga pula seperti nak marah ayah saya.
“Abah saya pun beli tiga batang lemang dan pulang ke rumah,” tulisnya.
Menurut Sharina lagi, ketika mereka sekeluarga hendak berbuka puasa, mereka mendapati lemang yang dibeli masih mentah dan tidak masak sepenuhnya.
Hal itu menyebabkan ayah Sharina bertindak menuju semula ke gerai lemang berkenaan untuk mendapatkan penjelasan.
“Lepas solat, abah saya kembali semula ke gerai tersebut dan cakap lemang mentah.
“Dia (peniaga) tak boleh terima teguran dan pukul abah saya dengan buluh lemang,” cerita Sharina.
Tambah Sharina lagi, mereka sudah membuat laporan polis berhubung kes tersebut.
“Laporan polis sudah dibuat, biar polis yang uruskan. Kepada siapa-siapa yang nak beli lemang di Bukit Beruang, sebelum lampu isyarat, sila berhati-hati,” katanya. – JURNAL
Sumber: MAJORITI