Gambar penyerang sensasi Argentina, Lionel Messi menjulang trofi Piala Dunia 2022 mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi foto paling banyak menerima tanda suka (like) di laman Instagram.
Setakat hari ini, foto Messi itu telah menerima lebih 68 juta like daripada pengguna Instagram.
Gambar itu merupakan antara momen paling manis buat Messi, 35, apabila impiannya untuk mendakap trofi kemenangan Piala Dunia akhirnya tercapai pada tahun ini.
Piala Dunia Qatar 2022 merupakan edisi terakhir Messi beraksi selepas dia mengumumkan persaraan untuk mewakili pasukan negara selepas ini.
Pada perlawanan akhir itu, Argentina menewaskan Perancis menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada 120 minit perlawanan.
Rekod itu sekali gus berjaya mengatasi gambar telur yang dipaparkan menerusi akaun @world_record_egg yang mendapat hampir 58 juta like sejak ia mula dimuat naik pada 5 Januari 2019.
Foto ketiga dalam senarai tersebut ialah gambar Messi dan bintang Portugal, Cristiano Ronaldo sedang bermain catur yang merupakan naskhah promosi untuk jenama mewah, Louis Vuitton.
Ia berjaya memperolehi jumlah like sebanyak lebih 42 juta setakat hari ini. – JURNAL