Penyanyi rap, Prakazrel ‘Pras’ Michel, yang muncul sebagai pempengaruh politik, didakwa dibayar AS$100 juta (RM443.8 juta) untuk cuba menghentikan siasatan ke atas ahli perniagaan Malaysia, Low Taek Jho atau Jho Low.
Pemenang Anugerah Grammy berusia 50 tahun itu juga dituduh membantu kerajaan China bagi mendapatkan ekstradisi terhadap seorang jutawan negara itu yang berada di Amerika Syarikat (AS).
Pendakwa raya, Sean Mulryne, berkata Michel ialah tumpuan dalam plot untuk meyakinkan pentadbiran bekas presiden, Donald Trump, supaya menghentikan siasatan terhadap Jho Low, berhubung dakwaan penyelewengan berbilion dolar daripada 1 Malaysia Development Berhada (1MDB).
Dia juga mendakwa dibayar AS$20 juta (RM88.6 juta) oleh Jho Low, yang juga ahli perniagaan dalam buruan polis, bagi membantunya bergambar dengan bekas presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama.
Pada masa yang sama, Michel juga menjadi ejen China dalam mendapatkan ekstradisi bagi jutawan China, Guo Wengui.
“Kes ini adalah mengenai pengaruh asing, wang asing dan ketamakan,” katanya dalam hujah penutup kepada juri semalam, selepas empat minggu Mahkamah Persekutuan Washington mendengar keterangan dalam kes perbicaraan Michel yang berdepan tuduhan melobi secara haram.
Michel, ahli kumpulan hip hop Fugees, dituduh gagal memberitahu AS mengenai tindakan melobi secara rahsia untuk Jho Low.
Pendakwa raya berkata, daripada AS$100 juta yang dibayar Jho Low untuk tujuan melobi itu, Michel menyimpan lebih AS$70 juta (RM310.6 juta).
Michel memberi keterangan membela dirinya sendiri minggu ini, dengan memberitahu juri yang dia tidak pernah bertindak bagi pihak China dan tidak tahu perlu memberitahu kepada AS di bawah Akta Pendaftaran Ejen Asing (FARA).
Dia mendakwa, AS$100 juta (RM443.8 juta) yang diterimanya datang secara tidak langsung daripada Jho Low, seperti yang dinyatakan pendakwa raya, namun ia adalah pelaburan untuk projek hiburan.
Dia mengaku membayar rakannya untuk menderma kepada kempen Obama, namun mendakwa ia dengan wangnya sendiri, bukan pemberian Jho Low.
Perbicaraan itu turut membabitkan keterangan daripada pelakon Hollywood, Leonardo DiCaprio, yang bersuka-ria bersama Jho Low.
DiCaprio mendakwa, Jho Low memberitahunya mahu memberikan AS$20 juta (RM88.7 juta) hingga AS$30 juta (RM133 juta) kepada Parti Demokrat pada 2012.
Jho Low melabur AS$100 juta (RM443.8 juta) dalam filem ‘The Wolf of Wall Street’, yang dibintangi DiCaprio.
Menurut peguam Michel, David Kenner, keterangan DiCaprio menunjukkan pelakon itu bersosial selama bertahun-tahun dengan Jho Low dan tidak pernah melakukan apa-apa untuk memeriksa latar belakang atau kewarganegaraan, sama juga seperti Michel yang tidak perlu untuk berbuat perkara sama.
“Adakah itu satu beban yang perlu dipikul oleh seorang warganegara AS sebelum mereka mula bergaul dengan seseorang,” kata Kenner.
Michel didakwa bersama Jho Low, yang dianggap pelarian dan dipercayai berada di China.
Selain daripada pertuduhan FARA dan ejen Cina, dia juga didakwa kerana mengganggu saksi, selain bersubahat untuk berkhidmat sebagai ejen asing yang tidak berdaftar dan untuk pengubahan wang haram. – JURNAL
Sumber: BH Online