Polis telah membuka satu kertas siasatan berhubung insiden penganjuran festival membeli belah sempena sambutan 1 Syawal iaitu Hoorey X Fest Raya di Pusat Dagangan Dunia (WTC).
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, tindakan itu diambil selepas pihaknya menerima laporan berkaitan penganjuran festival tersebut pada 19 April lalu.
“Bertindak atas laporan polis dan disusuli kertas siasatan dibuka, polis telah menahan tiga individu tempatan termasuk seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Dua lagi individu adalah wanita berusia 50 dan 51 tahun memegang jawatan sebagai pengarah syarikat serta penganjur festival turut diberkas bagi membantu siasatan kes tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Noor Dellhan, ketiga-tiga individu terbabit ditahan reman selama dua hari sehingga esok.
Kes berkenaan diteruskan siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – JURNAL
Sumber: MG