Polis menjangkakan 75,000 kenderaan menggunakan laluan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2) terutama pada waktu puncak pada Aidilfitri ini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa berkata, jumlah itu meningkat lima kali ganda berbanding kadar biasa sebanyak 15,000 kenderaan.
Katanya, peningkatan di LPT2 susulan penutupan dan lencongan jalan utama Gua Musang-Kuala Lipis.
“Kita jangkakan pertambahan ini dalam tempoh tiga hari Aidilfitri iaitu hari raya pertama, kedua dan ketiga.
“Justeru, kita meletakkan keanggotaan bagi memastikan penyuraian dan kelancaran lalu lintas terutama kesesakan yang boleh berlaku di persimpangan lampu isyarat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Iftar Ihya Ramadan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, malam tadi.
Pada majlis itu, Rohaimi menerima sumbangan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN) berjumlah RM10,000 dan menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf dan warga Kontinjen Terengganu.
Rohaimi berkata, hampir 300 anggota trafik dan dibantu balai di setiap daerah akan bertugas bagi membantu kawalan lalu lintas malah 22 lokasi panas dikenal pasti berlaku kesesakan, manakala 20 lagi kawasan kerap kemalangan.
Untuk itu beliau mengingatkan pengguna supaya lebih berhemah di jalan raya, mematuhi undang-undang dan merancang masa sesuai sebelum memulakan perjalanan. – JURNAL