Pemimpin agama Buddha, Dalai Lama memohon maaf berikutan rakaman menunjukkan beliau meminta seorang budak lelaki untuk menghisap lidahnya ketika memberikan restunya pada acara awam di India tular dalam media sosial baru-baru ini.
Menurut kenyataan yang diterbitkan di akaun Twitter rasminya, sami berusia 87 tahun itu sering mengusik orang yang ditemuinya tanpa niat buruk dan suka bermain walaupun di khalayak ramai atau di hadapan kamera.
“Satu klip video telah tersebar yang menunjukkan pertemuan baru-baru ini apabila seorang budak lelaki bertanya kepada Dalai Lama jika dia boleh memeluknya.
“Beliau ingin memohon maaf kepada kanak-kanak lelaki itu dan keluarganya serta semua rakannya di seluruh dunia jika kata-kata dan perbuatannya yang mungkin menyakiti mereka,” jelas kenyataan di akaun Twitter yang mempunyai 19 juta pengikut.
Video yang sudah menerima satu juta tontonan di Twitter, turut menunjukkan beliau mengucup bibir budak lelaki tersebut di hadapan penonton sambil disambut dengan tepukan dan hilai tawa.
Pengguna media sosial menyelar perbuatan itu dan menggelarnya sebagai tindakan tidak senonoh selepas video tersebut menjadi bualan ramai.
Pada tahun 2019, Dalai Lama pernah mencetus kontroversi dan membuat permohonan maaf selepas menyatakan hasrat mahu calon wanita yang cantik jika penggantinya kelak adalah dari golongan Hawa.
Komen yang dikritik di seluruh dunia itu dibuat dalam temu bual bersama stesen televisyen BBC.
Pemenang Hadiah Nobel Keamanan itu bekerja selama beberapa dekad untuk menarik sokongan global terhadap autonomi linguistik dan budaya di tanah airnya yang terpencil dan bergunung-ganang. – JURNAL