Gabungan Minda Jutawan Konsortium Sdn. Bhd (GMJ Konsortium) berkongsi rezeki dengan memberi bantuan bagi persiapan menyambut Aidilfitri kepada 10 orang artis veteran semalam (Jumaat).
Antara artis yang terlibat adalah Ku Farida, Mak Jah, Along Ezandy, Rashid Jaafar, Nor Azifah, Muhd Amender, Majid Salleh, Lan Zailan, A.Galak dan Shariza Mahmud.
Ketua Pegawai Eksekutif GMJ Konsortium, Mohamad Azhar Tukiran berkata, sumbangan tersebut adalah bagi meraikan artis-artis yang pernah menyinari industri seni sebelum ini.
Selain itu, ia membantu meringankan beban artis veteran yang kini menghadapi pelbagai masalah termasuk kesihatan.
“Kami mengambil inisiatif ini khusus untuk membantu golongan artis yang kini menghadapi masalah kewangan serta kesihatan.
“Diharapkan dengan bantuan ini sedikit sebanyak membantu mereka mempersiapkan diri untuk menyambut Aidilfitri pada minggu hadapan,” katanya pada majlis sumbangan di Cheras semalam.
Mengulas lanjut, Mohamad Azhar berkata, selain sumbangan berbentuk kewangan, pihaknya juga menyediakan platform kepada artis-artis tersebut untuk menjadi usahawan.
Jelasnya, dengan kemudahan itu, artis-artis veteran yang menghadapi masalah kewangan boleh menjana pendapatan sampingan selain terlibat dalam kerjaya seni mereka.
“Kita akan membantu membimbing mereka sehingga menjadi seorang usahawan dan sebenarnya ada rakan artis yang sebelum ini telah bekerjasama dengan kita.
“Beliau kini juga telah menjadi usahawan dalam komuniti dan pada masa sama kita akan galakkan lebih ramai artis-artis veteran ini terlibat dalam bidang keusahawanan supaya mereka mempunyai pendapatan sampingan sebelum atau selepas ‘pencen’ dalam industri seni kelak,” ujarnya.
Pada majlis sama, pihak GMJ Konsortium turut menyampai sumbangan kepada Persatuan Kebajikan Cahaya Qasih Malaysia. – JURNAL