Penceramah bebas, Dr Zakir Naik dalam keadaan selamat dan dijangka akan pulang ke negara ini selepas hari raya Aidilfitri iaitu selepas menyampaikan ceramah agamanya di Oman.
Mengesahkan perkara itu, peguam mewakilinya, Datuk Akberdin Abdul Kader memaklumkan Zakir Naik berada dalam keadaan selamat dan diberi layanan yang baik di Muscat, Oman.
Menurutnya, penceramah itu masih berada di Oman dan menyampaikan ceramah sepanjang bulan Ramadan ini.
“Jadi beliau hanya akan pulang ( ke Malaysia ) selepas hari raya kelak. Setakat ini Zakir dalam keadaan baik dan menjadi tetamu di sana,” katanya.
Sebelum ini Dr Zakir Naik dilaporkan menjadi buruan di India tiba di Muscat,Oman bagi menyampaikan ceramahnya selepas tarawih pada 27 Mac lalu.
BACA: Zakir Naik Mungkin Ditahan Di Oman Dan Akan Dihantar Pulang Ke India
Zakir Naik sebelum ini menetap di Malaysia selepas berdepan dakwaan mahkamah di India berhubung pengubahan wang haram, menyokong aktiviti keganasan dan mencetuskan ketegangan agama.
Malah kerajaan India juga menghantar permohonan rasmi bagi mengekstradisi penceramah kontroversi, Zakir Naik, pada Januari 2018. – JURNAL
Sumber: Harian Metro