Usahawan selebriti, Aleeya Zailan mendakwa bekas guru sekolah rendah telah membuli anak lelakinya, Aaron yang baru berusia 10 tahun akibat melakukan kesalahan kecil.
Awalnya Aleeya mengakui perbuatan dilakukan Aaron itu adalah salah, tetapi dia sukar menerima sikap kasar guru terbabit ketika menegur anaknya.
“Lainlah kalau perbuatan Aaron itu telah memudaratkan murid lain. Ini tak, dia cuma tendang papan tanda, kemudiannya dimarahi dengan teruk sehingga timbul rasa takut dalam dirinya untuk ke sekolah.
“Tambahan pula, guru itu sudah sedia maklum bahawa Aaron menghidap masalah Hiperaktif Kurang Daya Tumpuan (ADHD) sejak kecil.
“Jadi sepatutnya dia memahami kaedah untuk menangani murid seperti Aaron. Bukannya mengherdik anak saya dengan suara tinggi sampai dia trauma!” bantah Aleeya mempersoalkan tindakan guru itu.
Ketidakpuasan hati pengasas produk Aveny’s itu dikongsikannya menerusi satu video di media sosial yang merakamkan tingkah Aaron menceritakan pengalaman buruknya dalam tangisan.
@jurnal.malaysia Jangan terlalu keras dengan murid-murid, Trauma nanti dibuatnya #jurnal #jurnalmalaysia #news #recent #current #no1 #local #trending #viral #fyp #trauma #menangis #sekolah #aleeyazailan ♬ original sound – Jurnal Malaysia
Lebih membuatkan Aleeya kesal, pihak sekolah tidak mahu memberi kerjasama apabila mereka enggan membenarkannya melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang berada di lokasi kejadian.
Malah Aleeya juga berasa ralat kerana ketika insiden itu berlaku, dia berada di luar negara atas urusan kerja.
“Apabila tidak dibenarkan melihat rakaman CCTV tersebut, sukar untuk saya melaporkan kejadian itu kepada pihak kementerian kerana tiada bukti kukuh.
“Tetapi perilaku cikgu itu disaksikan oleh Along (penjaga) serta pemandu saya yang nampak Aaron dikejar sampai ke kereta,” jelasnya.
Justeru, enggan membiarkan anaknya terus diperlakukan sebegitu, Aleeya nekad menukarkan Aaron ke sekolah lain.
Pun begitu, usahawan berasal dari Melaka itu tetap bertegas mahu pihak berwajib mengambil serius hal yang terjadi ke atas anaknya dan kenakan tindakan wajar kepada individu terlibat. – JURNAL