Warganet berharap tiada lagi yang mempertikai keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI) sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas beliau mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas usul percaya dibentangkan di Dewan Rakyat petang tadi.
Sempat meninjau beberapa platform media sosial berhubung berita tersebut, JURNAL mendapati rata-rata warganet berharap agar selepas ini tiada lagi pertikaian berlaku.
Ada juga yang merayu ahli parlimen supaya berhenti berbalah dan sudah tiba masanya bekerja dan fokus kepada isu rakyat.
“Dah muktamad DSAI dapat sokongan usul percaya PM kan. Cukup-cukuplah pertikai, baik mula bekerja dan fokus pada isu rakyat.
“Cukup berdrama pertikai itu ini. Bukan pertama kali ada usul percaya PM ni di Malaysia. Wakil rakyat tak kira lah blok mana pun, dah boleh mula jenguk kami di bawah ni…Nak-nak lagi yang tengah terjejas dengan banjir,” antara komen ditulis warganet.
Menurut laporan Berita Harian, usul percaya PM itu diluluskan dengan undian suara selepas dibentangkan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan disokong rakan sejawatnya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sebelum dibahaskan 12 wakil rakyat dari blok kerajaan dan pembangkang.
Sokongan itu secara langsung mengabsahkan kedudukan kerajaan yang mentadbir negara ketika ini, dengan sokongan diperoleh Anwar itu menggambarkan kedudukan sebuah kerajaan kukuh dan stabil.
Anwar pada sidang media sulungnya sejurus mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri pada 24 November lalu memaklumkan agenda pertama persidangan Dewan Rakyat adalah untuk membentangkan usul undi percaya.
Usul berkenaan untuk membuktikan keabsahan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat terhadapnya, sekali gus memperkukuh kestabilan Kerajaan Perpaduan yang tertubuh pasca PRU15. – JURNAL