Mahkamah Sesyen Sivil di sini pada Jumaat, memerintahkan pelakon, Amelia Henderson membayar lebih RM200,000 kepada syarikat produksi A Aida Production Sdn Bhd, berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama, tahun lalu.
Ia membabitkan bayaran pertama RM3,920; ganti rugi am fitnah RM90,000 dan kos penggambaran drama itu sebanyak RM101,325 selain kos RM18,000 (guaman plaintif).
Hakim, Zulqarnain Hassan memutuskan demikian selepas mendapati Amelia atau nama penuhnya, Amelia Thripura Henderson, 28, selaku defendan telah melanggar terma-terma kontrak dalam filem ‘Sekali Lagi Cinta Kembali’.
Ketika membaca keputusan penghakimannya, Zulqarnain berkata, bintang filem itu juga perlu melunaskan bayaran lima peratus bagi bayaran pertama dan kos penggambaran drama itu kepada Syarikat A Aida selaku plaintif.
“Mahkamah juga membenarkan permohonan plaintif supaya defendan membuat permohonan maaf dan memadamkan video di Instagram yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap syarikat itu,” katanya.
Atas imbangan kebarangkalian, beliau berkata, mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani defendan dan syarikat itu, maka Amelia hendaklah menunaikan perjanjian berkenaan.
Ujarnya, mahkamah berpuas hati bahawa syarikat itu berjaya membuktikan tuntutan berkenaan kerana Amelia bersetuju untuk membintangi drama itu lalu mengikat kontrak tersebut.
Amelia juga katanya, bersetuju untuk memegang watak ‘Aira’ iaitu heroin dalam pembikinan seni itu. – JURNAL
Sumber: SINAR HARIAN