Seorang wanita China yang menghadapi nasib malang selepas ditolak suaminya dari sebuah tebing setinggi 34 meter di Thailand pada empat tahun lepas akhirnya dapat kembali berdiri dan berjalan menggunakan kaki sendiri.
Pengalaman ngeri dialami wanita berkenaan yang turut kehilangan bayi dikandungnya dalam insiden di sebuah pusat pelancongan Thailand pada Jun 2019 telah mengejutkan seluruh masyarakat di China.
Dalam kejadian tersebut, Wang Nuannuan terselamat, namun cedera parah dengan 17 tulang patah, 200 jahitan dan lebih 100 skru besi dimasukkan ke dalam badannya untuk pemulihan.
Wanita berusia 35 tahun itu yang hamil kira-kira tiga bulan ketika insiden itu telah menjalani beberapa pembedahan dan rawatan intensif.
Media tempatan melaporkan, Nuannuan sudah dapat berdiri dan berjalan sendiri tanpa bantuan tongkat pada awal tahun ini.
“Semua dugaan yang tidak membunuh saya hanya akan menjadikan saya lebih kuat,” katanya yang dipetik dalam laporan berkenaan.
Nuannuan berkata, dia terfikir berkali-kali untuk tidak menyambung rawatan yang dikenakan itu, namun akhirnya mendapat kekuatan untuk meneruskannya sehinga sembuh.
“Jika saya berputus asa, adakah badan saya akan menjadi lebih baik? Adakah status mental saya akan menjadi lebih baik? Tidak.
“Jadi saya perlu menahan kesakitan yang dialami dan menanggung semua kepayahan dengan matlamat untuk menjadi manusia yang lebih baik.
“Jika saya tidak melakukan proses pemulihan, saya akan tergeletak di atas katil dan kerusi roda selama-lamanya,” ujar Nuannuan.
Dia yang juga bekas ahli perniagaan barang dagangan barangan antara China dan Thailand bertemu suaminya, Yu Xiaodong pada 2017 sebelum kedua-duanya berkahwin dua bulan kemudian.
Nuannuan berkata, Xiaodong berniat untuk membunuhnya dan mahu mewarisi puluhan juta yuan aset yang dimilikinya.
Semasa perkahwinan mereka, lelaki itu kekal menganggur dan sering menekannya untuk mendapatkan wang bagi membayar hutang perjudiannya.
“Tempoh dari saya ditolak dari tebing itu hingga saya boleh kembali berdiri adalah masa paling gelap dalam hidup saya,” ujarnya.
“Dia memusnahkan dan mengkhianati saya. Saya kehilangan bayi. Saya kehilangan kesihatan. Kerjaya saya terancam. Rancangan saya untuk kehidupan masa depan juga telah hilang. Seluruh hidup berkecai,” katanya.
Nuannuan kini tinggal di Nanjing, wilayah Jiangsu Timur China dan cuba menjual produk melalui penstriman langsung di media sosial pada 2021.
Bagaimanapun, kecederaan dialaminya menyebabkannya tidak dapat melakukan kerja berat.
Sumber: BEIJING YOUTH DAILY