Tan Sri Robert Kuok mengekalkan kedudukannya sebagai individu paling kaya di Malaysia dengan kekayaan bernilai AS$11.8 bilion (RM51.88 bilion), demikian mengikut senarai terkini Hartawan Dunia Forbes 2023.
Dalam senarai terkini itu, beliau menduduki tempat ke-146 sebagai antara individu paling kaya di dunia.
Individu kedua terkaya di Malaysia ialah Tan Sri Quek Leng Chan dengan nilai kekayaan AS$10.1 bilion (RM44.41 bilion) dan beliau berada pada kedudukan ke-179 dalam senarai Forbes itu.
Seterusnya, diikuti Ananda Krishnan dengan kekayaan bernilai AS$5.2 bilion (RM22.86 bilion) dan hartawan itu berada pada kedudukan ke-511 dalam individu terkaya dunia.
Sementara itu, di peringkat global, Pengasas LVMH, Bernard Arnault menduduki tempat pertama sebagai individu paling kaya dalam senarai Hartawan Dunia Forbes 2023.
Beliau memiliki kekayaan bernilai AS$211 bilion (RM927.77 bilion), sekali gus menjadikannya warga Perancis pertama menerajui senarai itu.
LVMH, memiliki Louis Vuitton, Christian Dior dan Tiffany & Co.
Ketua Pegawai Eksekutif Tesla dan Twitter, Elon Musk menduduki tempat kedua dengan kekayaan bernilai AS$180 bilion (RM791.46 bilion).
Tempat ketiga individu paling kaya di dunia dipegang oleh Jeff Bezos dengan kekayaan bernilai AS$114 bilion (RM501.26 bilion), jatuh satu anak tangga berbanding tahun sebelumnya.
Kedudukan keempat dipegang Pengerusi Oracle, Larry Ellison dengan nilai kekayaan AS$107 bilion (RM470.48 bilion) dan tempat kelima ialah Warren Buffett dengan nilai kekayaan AS$106 bilion (RM466.08 bilion). – JURNAL