Bagi mengimarahkan bulan Ramadan yang penuh dengan keberkatan ini, pihak Awesome TV sekali lagi menjalinkan kerjasama strategik dengan pihak Koperasi Amanah Pelaburan Berhad (KAPB).
Menerusi perlaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) ‘Ihsan Kita’ Awesome TV dan KAPB menyantuni komuniti yang kurang bernasib baik termasuklah golongan anak yatim, asnaf, ibu tunggal, OKU, warga emas, orang buta serta pesakit dialisis.
Bagi menjayakan inisiatif amal tersebut, pihak KAPB dengan berbesar hati memperuntukkan sumbangan zakat berjumlah RM80,000 untuk diagihkan kepada lapan buah badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terpilih iaitu Yayasan Orang Buta Malaysia (Brickfields), Rumah Perlindungan Al-Nasuha (Gombak), Rumah Titian Kaseh (Titiwangsa), Pertubuhan Kebajikan Asnaf Al Barakh Malaysia (Keramat), Pertubuhan Kebajikan Darul Jariyah (Rawang), Yayasan Chow Kit (Kuala Lumpur), Yayasan Islam Darul Ehsan @ Pusat Dialisis MAIS (Kuala Selangor) dan Yayasan Budi Ihsan Malaysia (Putrajaya).
Setiap badan kebajikan berkenaan menerima sumbangan ikhlas sebanyak RM10,000 yang diharap dapat membantu meringankan beban penerima.
Mengulas lanjut mengenai program CSR ‘Ihsan Kita’, Pengarah Unit Kandungan Awesome TV, Datin Ezzan Zalilah Zulfadzli berkata kehadiran Ramadan amat dinanti untuk melipat gandakankan amalan.
“Kehadiran Ramadan sememangnya amat dinantikan kerana pada bulan ini kita berpeluang untuk meningkatkan lagi amalan kita dengan pelbagai bentuk pengisian bermakna dan memperkukuhkan lagi ukhuwah
sesama insan.
“Selaku stesen televisyen yang prihatin, pihak Awesome TV memainkan peranan besar dalam mengambil langkah proaktif untuk menyokong sebarang usaha murni yang memberi manfaat besar kepada komuniti setempat di luar sana.
“Inisiatif penerbitan program CSR ‘Ihsan Kita’ seperti ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kami untuk mendekati dan berbakti kepada masyarakat yang dilihat menepati simbolik tema kempen Ramadan tahun ini iaitu ‘Ikhlaskan Jiwa, Dekat DenganNya.
“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak KAPB di atas kepercayaan yang diberikan dalam menjayakan program amal ini. Pihak Awesome TV amat menghargai kesungguhan dan komitmen syarikat korporat seperti KAPB yang wajar dicontohi oleh semua.
“Besar harapan kami agar kerjasama murni ini dapat dipanjangkan lagi untuk tahun-tahun yang seterusnya,” katanya.
Liputan aktiviti kemasyarakatan dalam program CSR ‘Ihsan Kita’ yang turut diserikan lagi dengan penglibatan barisan selebriti tanahair seperti Izzue Islam, Fimie Don, Mamak Puteh, Nizam Jentik-Jentik, Harris Alif, Danny Soda, Justin Ang dan Kamalia Jamaludin akan dizahirkan menerusi lapan buah episod khas yang bakal ditayangkan pada setiap hari Sabtu dan Ahad, jam 6.00 petang secara eksklusif di platform Astro (Saluran 123) dan MyTV (Saluran 112) bermula 1 April 2023.
Sementara itu, Sahidi Mohamad selaku Ahli Lembaga Koperasi merangkap Setiausaha Kehormat KAPB berkata, mereka komited dalam melaksanakan inisiatif sosial berimpak tinggi yang melibatkan pembangunan dan kelestarian masyarakat sejak koperasi mula ditubuhkan pada tahun 2014 sehingga kini.
“Seiring dengan slogan KAPB, ‘Rezeki Berbeza Dikongsi Bersama’, kami berasa bertanggungjawab untuk memberikan sumbangan ikhlas, seperti wang tunai, keperluan asas dan tenaga serta aktif menganjurkan pelbagai aktiviti kemasyarakatan yang turut disertai oleh Ahli Lembaga Koperasi (ALK) dan kakitangan syarikat secara konsisten untuk mempertingkatkan kesejahteraan serta kualiti kehidupan komuniti setempat.
“Bagi merealisasikan hasrat kami untuk mengadakan program CSR yang efektif dalam skala yang lebih besar untuk tahun ini, kami menjalinkan usaha sama strategik dengan pihak Awesome TV menerusi program ‘Ihsan Kita’ yang dilihat mampu membuka jalan kepada badan-badan kebajikan terlibat untuk meningkatkan ketersediaan mereka dalam mendepani apa jua cabaran demi kelangsungan hidup seharian,” katanya. – JURNAL