Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kadir yang mewakili Diana Danielle mengesahkan hak penjagaan sementara diberikan kepada Diana dilanjutkan sehingga 30 Mei depan.
“Kedua-dua peguam sudah mengambil inisiatif untuk menyelesaikan melalui mahkamah semua isu berkaitan mereka. Nampaknya ada harapan sebab pihak sebelah lagi memberi kemahuan untuk berbincang.
“Jadi, kami ada proses sulh pada 11 April depan, tetapi sebelum itu, insya-Allah kami akan berbincang. Kami akan rekod jika ada persetujuan. Selepas itu, kami teruskan untuk membubarkan perkahwinan di Mahkamah Petaling Jaya.
“Sekarang ini hak penjagaan interim masih lagi di bawah Diana. Hakim sudah memberikan lanjutan hak penjagaan hingga 30 Mei depan.
“Kalau ada persetujuan lebih awal, kami akan memohon kepada mahkamah supaya boleh merekod dan membubarkan perkahwinan dengan segera,” katanya.
Bertanya permintaan Muhammad untuk pulang menyambut Aidilfitri di kampung halaman Farid di Kedah, Akberdin berkata, pihaknya akan berbincang terlebih dahulu sebelum memutuskannya.
“Kami sedang berbincang dengan peguam Farid dan akan mempertimbangkan semua ini. Kami akan membuat persetujuan setakat mana yang boleh seperti hak lawatan dan membawa ke Kedah, kemudiannya akan membuat perjanjian untuk perkara berkenaan,” katanya.
Terdahulu, Diana dan Farid tiba di Mahkamah Tinggi Syariah, di sini, bagi sebutan kali pertama kes hadanah iaitu hak penjagaan dua anaknya. Lebih 30 pengamal media pelbagai agensi berkumpul di pekarangan mahkamah seawal jam 8 pagi untuk membuat liputan.
Hadanah bermaksud permohonan penjagaan kanak-kanak yang masih kecil dan belum berupaya untuk menguruskan dirinya sendiri sama ada lelaki atau perempuan, sama ada dalam tempoh perkahwinan atau selepas perceraian. – JURNAL
Sumber: BH ONLINE