Kebiasaannya, kebanyakkan orang pasti memerlukan bantuan daripada Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahan Awam (APM) dan sebagainya ketika berada dalam kesusahan atau masalah.
Pun begitu, lain pula cerita dengan seorang individu ini apabila dia bertindak menghalang anggota bomba daripada mengalihkan pokok tumbang yang menghempap kenderaannya di Jalan Anggerik Mokara, Kota Kemuning, Shah Alam pada minggu lalu.
Difahamkan, halangan dibuat pemilik kenderaan jenis Kia Forte itu dengan alasan dia mahu membuat tuntutan kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA).
Menurut Pengarah Bomba Selangor Morni Mamat, pihaknya terdahulu menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 8.15 malam mengenai bantuan atau khidmat khas berkaitan pokok tumbang.
Kata Morni, sebaik panggilan diterima sepasukan anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam dikerah ke lokasi kejadian bahi tunjuan mengalihkan pokok.
“Bomba yang cuba untuk membantu alihkan dahan pokok tersebut bagaimanapun dihalang pemilik kenderaan.
“Alasan diberikan pemilik kereta itu adalah menunggu pihak MBSA hadir ke lokasi bagi tujuan tuntutan kepada pihak berkuasa tempatan itu,” katanya.
Tegas beliau, tiada mangsa terlibat dilaporkan dan pihak bomba hanya mengalihkan dahan di sekitar kawasan tersebut sahaja.
Berkongsi lanjut, Morni berkata kes berkenaan diserahkan kepada Skuad Pantas MBSA untuk tindakan selanjutnya.