Usahawan kosmetik popular dikenali sebagai Ayunie malam tadi (Ahad) menerusi ruangan IG Story meminta bantuan daripada pengikutnya mencarikan perkhidmatan trak tunda untuk menyelamatkan kereta Lamborghini miliknya.
Ayunie berkata, dia tidak menyangka paras air naik secara mendadak kerana kawasan kediamannya bukanlah tempat yang berisiko tinggi untuk ditenggelami air setiap kali tibanya musim banjir.
Bagaimanapun selepas beberapa jam, Ayunie meluahkan rasa lega apabila kereta mewah tersebut berjaya dipindahkan ke tempat lebih selamat.
Dia turut mengucapkan terima kasih kepada rakan-rakan dan pekerjanya yang telah menghulurkan bantuan walaupun terpaksa melalui pelbagai halangan dan dugaan.
“Selepas berjam-jam bertungkus lumus nak keluarkan Lamborghini, Alhamdulilah dapat juga. Dua hingga tiga kali tukar ‘towing’ sebab paras air terlalu dalam, banyak trak yang tak lepas.
“Terima kasih sahabat-sahabat dan staf yang bantu. Semoga kalian dalam jagaan Allah selalu. Tuhan saja tahu betapa paniknya semua. Tak putus-putus doa sebab banyak kali call, tapi mereka tolak.
“Lagipun ramai cakap kenderaan tak boleh masuk dah, tapi tadi bila ‘towing’ boleh masuk air pula makin naik dah paras tayar Lambo. Waktu itu tawakal dan hanya mampu berdoa. Alhamdulilah, Allah Maha Kuasa,” syukurinya.
Difahamkan Ayunie kini sedang bercuti di Indonesia.
Dalam pada itu, perkembangan terkini keadaan banjir di Kelantan dilaporkan bertambah buruk setakat jam 5 petang tadi.
Media melaporkan jumlah mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mencecah kira-kira 15,478 orang, melibatkan 4,426 keluarga di 105 PPS di seluruh negeri.
Jajahan paling teruk terjejas ialah Pasir Mas, Kuala Krai, Tumpat, Pasir Puteh, Tanah Merah, Kota Bharu, Machang, Bachok dan Jeli. – JURNAL