Natijah terlibat dalam rusuhan menggunakan senjata tajam di Bandar Rinching, Semenyih, empat lelaki ditahan polis pada Sabtu lalu.
Menerusi video tular, berlaku pergaduhan di lokasi berkenaan sementelah seorang suspek yang sedang mabuk mula mengeluarkan kata-kata kesat.
Memburukkan lagi keadaan, lelaki berkenaan membaling tin arak yang diminumnya ke arah gerai burger berdekatan sehingga menimbulkan kemarahan peniaga di situ.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, kejadian berlaku pada Khamis minggu lalu di hadapan sebuah restoran.
“Polis menerima aduan berhubung insiden itu pada pukul 9.55 malam daripada orang awam,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, hasil siasatan polis telah mengenal pasti punca pertelingkahan kumpulan itu angkara kekecohan dimulakan lelaki mabuk berkenaan.
“Kejadian menjadi lebih tegang apabila lelaki mabuk itu mengeluarkan pisau serta parang dan cuba menyerang peniaga gerai di situ,” katanya.
Katanya, kejadian itu menyebabkan berlaku rusuhan yang melibatkan campur tangan individu lain bagi meleraikan kejadian tersebut.
Bertindak atas maklumat, pihak polis mengambil tindakan segera dengan menahan empat lelaki tempatan tersebut yang berusia 28 hingga 41 tahun bagi membantu siasatan.
“Keempat-empat yang ditangkap dibenarkan ditahan reman selama empat hari sehingga esok untuk siasatan lanjut.
“Dalam kejadian ini pihak polis merampas sebilah parang, satu pisau boleh laras dan satu topeng kain muka suspek yang ditangkap semasa kejadian,” ujarnya.
Kes itu disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. – JURNAL