Mahkamah Sesyen Ayer Keroh semalam memerintahkan seorang penganggur dihantar ke Hospital Permai, Johor Bahru untuk menjalani rawatan psikiatri susulan kes mengelar ibu dan adik kandungnya, tiga minggu lalu.
Tertuduh, Muhammad Hidayat Abu Samad, 24 tahun diarah berbuat demikian selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Mohd Sabri Ismail.
Mengikut pertuduhan pertama, dia dituduh dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada ibunya, Sapiah Abdul Kadir, 49, dengan menggunakan pisau pemotong daging.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Jalan BLI, Taman Bukit Larang Indah, dekat sini, kira-kira jam 10 malam, 10 Mac lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Muhammad Hidayat didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah terhadap adiknya, Noor Iman Dania, 11, dengan menggunakan senjata terbabit pada tarikh, masa dan di tempat sama.
Bagi kesalahan itu, dia dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A akta sama dan jika sabit kesalahan, boleh dipenjara sehingga 40 tahun dan denda atau sebat.
Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Nazrin Ali Rahim yang menjalankan pendakwaan memohon kepada mahkamah supaya Muhammad Hidayat dihantar menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Permai, Tampoi, Johor.
Beliau membuat permohonan itu mengikut Seksyen 342 (3) Kanun Tatacara Jenayah bagi mendapatkan laporan psikatrik untuk menentukan keadaan mental tertuduh sewaktu melakukan perbuatan terbabit.
Mahkamah membenarkan permohonan itu dan menetapkan 19 April depan untuk sebutan semula kes. – JURNAL