Selepas dua hari bertungkus-lumus dalam operasi mencari dan menyelamatkan mangsa insiden tanah runtuh, anjing unit pengesan (K9) yang dinamakan Blake terpaksa direhatkan.
‘Blake’ hero bermuka bengis, bersifat garang dan mempunyai deria bau yang tajam hadir bagi membantu pasukan penyelamat di medan pencarian dalam apa jua keadaan – berlumpur tebal, lecak atau hujan.
Malangnya dalam operasi kritikal tanah runtuh itu, anjing baka English springer spaniel yang itu mengalami kepenatan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, anjing itu ‘kecundang’ setelah dua hari berturut-turut bekerja bertungkus lumus dan kini direhatkan.
“Selepas dua hari bekerja lebih dari masa ditetapkan, anjing pengesan itu perlukan rehat tetapi bukan sebab cedera.
“Pada peringkat ini, kita akan kerahkan bergilir-gilir dengan tiga ekor dahulu, kemudian baru masukkan baki anjing ke tapak kejadian,” katanya dalam sidang media pada Ahad.
Norazam berkata, setakat ini terdapat 11 ekor anjing pengesan diletakkan dalam keadaan siap siaga di lokasi bencana untuk membantu operasi dengan enam daripadanya milik JBPM, empat (Polis Diraja Malaysia) dan seekor (Angkatan Tentera Malaysia).
“Kita mungkin akan menambah bilangan sekiranya perlu,” kata beliau.
Setakat petang Sabtu, 24 mangsa disahkan terkorban, manakala 61 orang selamat dan sembilan masih hilang daripada keseluruhan 94 orang yang terlibat dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di Jalan Genting-Batang Kali itu.
SAR bagi sembilan lagi mangsa yang belum ditemukan diteruskan hari ini bermula pada 9 pagi selepas ditamatkan pada 9 malam semalam. – JURNAL
Comments 1