Hakim syarie hari ini menasihatkan pelakon Farid Kamil dan isteri, Diana Danielle, untuk berdamai bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam.
Peguam syarie Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Farid ketika ditemui berkata Hakim Syarie Shukran Yusof menasihatkan demikian pada sebutan semula kes cerai itu.
Menurut peguam syarie itu, hakim syarie itu menyatakan, “benda yang boleh selesai secara baik, cubalah mengislahkan (usaha untuk memperbaiki keadaan),”.
Hari ini adalah sebutan kes bagi Farid memaklumkan kepada mahkamah wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang akan mewakilinya.
“Pendengaran di mahkamah hari ini mengenai lantikan wakil JKP di mana Farid melantik kakaknya.
“Farid ada cuba pujuk tetapi Diana macam ‘keras’ sikit (gagal dipujuk).
“Proses JKP akan berlangsung di pejabat agama Shah Alam, namun tarikhnya pasangan itu akan menentukan. Seterusnya proses hakam (kalau JKP tidak mencapai persetujuan) dan mahkamah akan menentukannya,” katanya.
Berikutan itu mahkamah kemudian menetapkan 30 Mei ini bagi pihak-pihak mengemukakan laporan JKP berhubung kemelut melanda rumah tangga mereka.
Sementara itu, Diana atau nama sebenarnya Diana Danielle Danny Beeson, 32, telah melantik pengurus bagi mewakili dirinya manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik kakaknya.
Dalam proses perceraian, JKP terdiri daripada anggota keluarga yang rapat dengan pasangan terbabit akan memberi nasihat dan mencari jalan penyelesaian.
Sekiranya JKP tidak dapat menemui jalan penyelesaian atau mendapati bahawa telah berlaku shiqaq, perbalahan berpanjangan) maka Mahkamah Syariah akan melantik hakam yang akan memberikan kata putus bagi menyelesaikan kemelut rumah tangga pasangan terlibat. – JURNAL
Sumber: KOSMO! ONLINE