Isu salah guna tempat letak kereta Orang Kelainan Upaya (OKU) bukanlah satu yang baru.
Kali ini, JURNAL menerima kiriman daripada pembaca kami yang mahu isu tersebut disuarakan dengan tujuan memberi kesedaran kepada orang lain.
Menurut pengadu, kejadian di tempat letak kereta sebuah restoran di Bayan Lepas, Pulau Pinang ketika dia mengunjungi premis tersebut untuk menjamu selera.
Apa yang dikesalkan ialah, tempat letak kereta yang disedikan khas untuk OKU telah disalah guna oleh orang awam, yang merupakan salah satu peniaga di kawasan tersebut.
Tambah pengadu, dia yang membawa penumpang OKU terpaksa meletakkan kenderaan jauh daripada restoran kerana perbuatan tidak bertanggung jawab tersebut.
“Kami datang dari luar jauha-jauh, bawa OKU dan terpaksa parkir jauh dari kedai kerana parking OKU dah diambil orang bukan OKU.
“Kami bertanya dekat tuan kedai kami makan, mereka beritahu itu kereta salah seorang peniaga di sana.
“Tolonglah sebarkan dan tujuan saya menyuarakan tentang isu ini adalah untuk menyebarkan kesedaran kepada masyarakat di luar sana.
“Kelebihan OKU diberi tetapi dah disalahguna pakai oleh orang awam yang tidak berhati perut. Kalau OKU yang datang sendiri tanpa bantuan orang lain, kasihan mereka sebab terpaksa parkir jauh dan jalan seorang diri,” akhiri pengadu.
Kepada peniaga mahupun orang ramai, suka untuk JURNAL ingatkan, janganlah bersikap pentingkan diri kerana ia bukan hak kita.
Tempat itu sudah digazetkan untuk OKU, diharap kita semua perlu ada kesedaran sivik. Gunakan akal kerana kita tidak rasa apa yang OKU lalui.
Tambahan lagi, isu ini berlarutan sudah agak lama. Pihak berkuasa juga seharusnya lebih tegas membuat rondaan, kerana seperti sudah menjadi kebiasaan hak OKU dinafikan dan akan menjadi barah dalam masyarakat.
Bukan sekadar tempat letak kereta, tandas OKU pun disalah guna, digunakan orang tak berkenaan. Apalah guna kempen jika tidak selari dengan penguatkuasaan? – JURNAL