Kementerian Pendidikan (KPM) menunggu laporan lengkap berhubung insiden tiga beradik di sebuah kampung di Perlis yang dipercayai menjadi mangsa dera ibu mereka.
Menterinya Fadhlina Sidek berkata, beliau mengambil maklum mengenai kejadian yang menimpa tiga beradik berkenaan.
Katanya, pada ketika ini, beberapa agensi berkaitan berusaha membantu tiga beradik itu dan pihaknya juga dalam usaha berbuat demikian selepas menerima laporan lengkap akan kejadian itu.
“Saya tak dapat lagi laporan (insiden menimpa tiga beradik terbabit) tapi dah dapat berita mengenainya.
“Kita tengah periksa keadaan mereka dan pada ketika ini (usaha membantu) di bawah kementerian lain dulu yang menyelamatkan (tiga beradik terbabit).
“Bagi pihak kita, (KPM) akan semak (status pendidikan) sama ada mereka (tiga beradik itu) bersekolah atau tidak, yang apabila kita lihat pada masa ini keadaan mereka nampak tidak begitu baik,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung status pendidikan tiga beradik yang dipercayai menjadi mangsa dera di Kampung Tambun Tulang, Simpang Empat, Perlis.
Terdahulu, Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui pada Majlis Iftar bersama pelajar serta komuniti setempat di Pusat Islam Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia (USM), di sini, malam tadi.
Dalam kejadian malam kelmarin, tiga beradik berusia 13 hingga 16 tahun ditemukan orang awam dalam keadaan kaki masih berantai di tepi jalan di kampung berkenaan.
Semasa ditemukan, dua daripada mangsa dirantai bersama di bahagian kaki, manakala seorang lagi tidak dirantai.
Hasil semakan polis seterusnya juga mendapati dua daripada mangsa memiliki kad Orang Kurang Upaya (OKU) iaitu bagi masalah pendengaran dan pembelajaran.
Kesemua mangsa yang menerima rawatan di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. – JURNAL
Sumber: Harian Metro